e-ISSN 2231-8534
ISSN 0128-7702
Vijayaletchumy Subramaniam, Richard Ignacy, dan Mohamed Thariq Hameed Sultan
Pertanika Journal of Social Science and Humanities, Volume 33, Issue 6, December 2025
DOI: https://doi.org/10.47836/jssh.33.6.16
Keywords: LK UMIBaKaP, penanda wacana, pertautan ayat
Published on: 2025-12-30
Permasalahan pelajar dalam penulisan karangan sering dikaitkan dengan kelemahan mengolah ayat secara berkesan. Pengolahan ayat memerlukan pemahaman dan penguasaan penggunaan penanda wacana yang sesuai, pertautan ayat yang relevan, variasi bahasa, dan frasa menarik serta memastikan tiada kesalahan ejaan, tatabahasa, dan tanda baca. Fokus kajian ini adalah untuk mengenal pasti permasalahan pelajar dalam penulisan karangan dari aspek bahasa, pemerengganan, dan kohesi di samping menilai keberkesanan penggunaan Lembaran Kerja (LK) UMIBaKaP dalam penulisan karangan peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Kajian ini menggunakan kaedah gabungan kualitatif dan kuantitatif melalui analisis dokumen, temu bual tidak berstruktur, soal selidik berstruktur, dan kajian kuasi eksperimen. Analisis dokumen melibatkan penilaian terhadap karangan pelajar untuk mengenal pasti kesalahan bahasa dan kelemahan dalam pemerengganan serta kohesi. Temu bual tidak berstruktur dengan guru Bahasa Melayu memberikan pandangan mengenai masalah yang dihadapi oleh pelajar dalam penulisan karangan. Soal selidik berstruktur mengumpul data daripada pelajar mengenai pengalaman mereka menggunakan LK UMIBaKaP. Kajian kuasi eksperimen melibatkan perbandingan prestasi pelajar yang menggunakan LK UMIBaKaP dengan yang menggunakan kaedah tradisional. Hasil kajian menunjukkan peningkatan hampir 100 % dalam penggunaan LK UMIBaKaP berbanding kaedah tradisional dalam penulisan karangan untuk setiap perenggan. Pelajar yang menggunakan LK UMIBaKaP menunjukkan penguasaan yang lebih baik dalam penggunaan penanda wacana, pertautan ayat, dan variasi bahasa serta mengurangkan kesalahan ejaan, tatabahasa, dan tanda baca. LK UMIBaKaP terbukti sebagai satu alternatif terbaik untuk membimbing pelajar menghasilkan karangan yang cemerlang dan matang. Kajian ini mencadangkan penggunaan LK UMIBaKaP secara meluas dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu bagi meningkatkan kemahiran penulisan pelajar pada peringkat SPM.
ISSN 0128-7702
e-ISSN 2231-8534
Recent Articles